Kehidupan kita hari ini penuh dengan plastik. Dalam kenderaan, permainan kanak-kanak, pembungkusan, barangan rumah, komputer, sudu dan garfu, alat-alat perubatan dan banyak lagi - tidak mampu disenaraikan semuanya sekali. Plastik diperolehi secara murah, dan ia memiliki kelebihan tersendiri dari segi daya ketahanan seperti tahan kebocoran, tahan panas atau sejuk, mudah dibentuk malah ia lebih ringan berbanding logam. Penemuan plastik telah banyak membantu memudahkan kita dalam kehidupan.
Malangnya penggunaan plastik secara tidak terkawal telah mencemarkan dunia hari ini.
Ia juga mengotori dunia kita, menyumbat longkang-longkang, menghalang aliran air sungai dan membunuh hidupan di laut. Plastik mengambil masa beratus-ratus tahun untuk lupus, maka ia tidak boleh musnah dalam jangka masa yang pendek. Jika dibakar, ia akan menghasilkan gas bertoksik lalu mencemar alam sekitar. Meskipun ia banyak membantu memperbaiki kehidupan kita, ia sebenarnya membawa bersama bahaya yang tidak ramai sedari.
Bahan plastik akan bertindakbalas secara kimia apabila dipanaskan. Sejenis kimia yang dipanggil bisphenol-A (BP-A) terhasil dan akan merangsang pertumbuhan sel kanser di dalam tubuh apabila ia masuk bersama-sama makanan yang kita makan atau minuman botol yang diteguk. Secara asasnya, plastik tidak merbahaya kepada kita, tetapi bila ia mengalami perubahan suhu, BPA yang terhasil itu akan meracuni tubuh kita. Oleh itu, elakkan menggunakan bekas plastik sebagai bekalan mengisi minuman sebaliknya gantikan dengan bekas logam tahan karat atau gelas.
Minuman botol yang didapati di pasaraya hari ini hampir semuanya menggunakan botol plastik. Ada yang berpendapat ia tidak mengapa jika digunakan kali pertama sejak ia dibotolkan dikilang pengeluar minuman. Mereka berpendapat ia adalah botol pakai buang - selepas digunakan ia tidak perlu lagi disimpan. Pendapat begini adalah silap. Plastik sebenarnya telah dipanaskan sebelum kita menggunakannya. Malangnya ada di kalangan masyarakat kita menggunakannya untuk mengisi air 'kosong' atau minuman kopi dan sebagainya lalu dibawa bersama ke tempat kerja sebagai bekalan.
Perlu diketahui bahawa proses membentuk botol minuman bermula dengan pemanasan. Dari tiub plastik sebesar ibu jari, ia dipanaskan dan dilentur kepada berbagai rupa bentuk yang dikehendaki oleh pengeluar minuman. Adakalanya, bentuk botol membezakan jenis minuman atau syarikat pengeluar. Sejak awal lagi, plastik yang kita minum itu sudahpun melalui proses pemanasan. Jika ia dibersihkan sebelum minuman dimasukkan, ia belum tentu menjamin botol itu bebas dari BP-A.
Bagaimana pula dengan proses penghantaran? Jika anda fikir ia masih selamat, bayangkan lori atau apa saja yang membawa botol minuman dari kilang yang sudah siap untuk dipasarkan ke kedai atau pasaraya! Tentu ia akan mengalami perubahan haba semasa dalam perjalanan. Negara kita mengalami iklim yang panas antara 29 hingga 34 Selsius. Dengan kadar suhu 25 Selsius sudah cukup untuk membuat botol plastik bertindakbalas menghasilkan BP-A.
Di Amerika, ramai Veteran perang Teluk dikesan mendapat berbagai jenis kanser seperti prostat sejak pulang dari operasi di Iraq. Dalam kajian dilakukan, mereka mengesyaki penggunaan botol plastik secara berluasa sebagai bekas minuman mereka menyumbang kepada penyakit kanser. Malah cuaca yang panas di kawasan padang pasir menambah burukkan lagi keadaan. Sejak itu, pihak pentadbiran ketenteraan menukar bekas minuman tentera mereka kepada bekas logam. Walaupun begitu, ia masih tidak mengharamkan penggunaan bekas plastik terhadap orang awam.
Kerajaan sepatutnya mengharamkan penggunaan plastik sejak dulu lagi. Tetapi untuk mengharapkan tindakan sedemikian adalah suatu keajaiban kerana plastik sudah digunakan secara leluasa di serata dunia dan belum ada mana-mana pihak yang berani mengharamkan penggunaan plastik termasuk di Amerika sendiri. Berjuta-juta perniagaan mengaut keuntungan berbilion-bilion ringgit dengan kos pengeluaran yang murah dengan adanya plastik. Harga barangan dapat diminimakan dengan penggunaan plastik. Malah kita dapat memiliki barangan dengan harga yang rendah disebabkan penggunaan bahan plastik. Itu belum lagi dikira keuntungan yang dibuat oleh syarikat atau kilang membuat plastik!
Plastik terdiri dari berbagai jenis dengan nombor kod tertentu sebagai identifikasi. Berikut antara jenis plastik yang anda MESTI ketahui dan ada di antaranya membawa risiko yang sangat merbahaya:
Plastik No. 1 - PET (Polyethylene terephthalate)
Terdapat pada minuman ringan seperti air galian dan minuman berkarbonat, botol pencuci mulut, botol minyak masakan. Ia mudah terhakis, haus dan mengeluarkan sisa-sisa toksik.
Ia hanya digunakan sekali sahaja.
Plastik No. 2 - High Density Polyethylene (HDPE)
botol detergen, karung sampah, botol minyak enjin
Hanya plastik jenis ini dikatakan mempunyai risiko yang rendah untuk digunakan berulang-kali. Jangan pula ada yang gunakan bekas minyak enjin atau bekas detergen sebagai bekas menyimpan air minuman. Bagaimanapun, ia tetap menghasilkan toksik pada kadar yang minima.
Plastik No. 3 - Poly Vinyl Chloride (PVC)
Digunakan sebagai botol syampu, botol minyak masak, salutan wayar elektrik, peralatan perubatan, paip. Ia sudah diketahui sangat merbahaya kerana boleh menghasilkan toksik pada kadar yang tinggi. Jauhkan plastik jenis ini dari menyentuh makanan semasa panas.
Plastik No. 4 - Low Density Polyethylene (LDPE)
Plastik No. 5 - Polypropylene (PP)
Biasa digunakan sebagai botol sos, botol kicap, botol ubat-ubatan, straw, botol susu bayi, penutup botol. Memerlukan suhu yang lebih tinggi untuk dicairkan. Ada yang menerimanya sebagai bekas makanan oleh sebab kadar tindakbalasnya yang perlahan terhadap haba. Ia mempunyai risiko yang rendah kepada pencemaran minuman atau makanan.
Plastik No. 6 - Polystyrene (PS)
Bekas polistrin yang biasa digunakan oleh masyarakat kita apabila membeli makanan yang dibawa balik atau 'tapau'. Bekas telur juga adalah dari jenis polisterin tetapi ia tidak memberi kesan sampingan jika setakat digunakan untuk menyimpan telur. Polisterin adalah plastik yang merbahaya digunakan sebagai bekas makanan tetapi di Malaysia, ia adalah pilihan yang popular bagi peniaga-2.
Plastik No. 7 - lain-lain
Semua jenis plastik selain jenis di atas dikategorikan sebagai kod 7. Antaranya seperti plastik sunglass, cakera DVD, papan tanda, casing komputer. Antara yang merbahaya adalah polikarbonat (PC)
No comments:
Post a Comment